Kesempatan untuk bersama-sama di majlis perasmian sebuah kolej oleh Menteri di Sabah tidak aku lepaskan begitu sahaja. Kunjungan ke sebuah daerah yang cukup asing, Semporna adalah satu peluang yang amat berharga dan dinantikan.
Sambil meninjau persiapan perasmian oleh rakan-rakan, pandanganku terpaku kepada pergerakan kumpulan manusia dari pelbagai arah ke sebuah rumah yang berhampiran dengan kolej tersebut. Keadaan ini membuatkan aku terpanggil untuk menghampiri mereka dan mengetahui keadaan yang sebenarnya. Sekumpulan kanak-kanak yang sedang berkumpul di hadapan pagar rumah tersebut menarik perhatianku dan terus bertanya “ada pergi sekolah?”. Mereka geleng kepala . Lalu aku bertanya lagi “kenapa tak sekolah”?.Sambil menggaru kepala dan tersengih dan kemudianya berkata dalam loghat yang amat sukar dan cukup asing …” tak ada surat beranak”. Aku bertanya lagi, “buat datang ramai-ramai ni”?.” Minta uang dari menteri “ sambut salah seorang dari mereka.
Ku hulurkan sebatang pen kepada salah seorang dari mereka sambil berkata.. ‘Nanti pergi buat surat beranak dan daftar sekolah. Belajar rajin-rajin, besar nanti boleh belajar di sana”, sambil aku menunjukkan kepada mereka sebuah kolej yang akan dirasmikan oleh Pak Menteri pada hari tersebut.
Kanak-kanak tersebut mengangguk-angguk sambil tersenyum malu. Pen yang aku hadiahkan itu dibelek-beleknya dengan penuh gembira. Rakan-rakan disebelahnya pula cuba mengusiknya sambil merebut pen tersebut.
Keadaan di halaman rumah tersebut sebenarnya telah dipenuhi oleh orang ramai. Aku kemudianya mendapat tahu bahawa ini adalah perkara biasa di rumah tersebut bila mereka mengetahui bahawa Menteri berkenaan pulang ke Semporna. Mereka ini sebenarnya ialah para penduduk dari perkampungan air di daerah Semporna dan juga penduduk dari daerah pendalaman. Mereka akan berkumpul di sekitar rumah itu dari awal pagi lagi dan berlanjutan sehinggalah mereka mendapat sumbangan dari Menteri berkenaan.Dikhabarkan bahawa mereka ada mendapat sumbangan sebanyak RM5/- bagi setiap orang. Melihat cara berpakaian dan kaki tanpa sepatu itu, dapat aku bayangkan kehidupan seharian mereka dan merasa betapa bertuahnya hidupku.
Namun dimataku adalah masa silam... akukah itu yang inginkan sepasang sepatu baru untuk dipakai pagi raya?. Oh! rupanya masih ada kemiskinan di sini....
Kenangan di KPTM Semporna, Sabah
Ogos 2010
Thursday, October 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment