Thursday, October 28, 2010

DI MATAKU ADALAH MASA SILAM...

Kesempatan untuk bersama-sama di majlis perasmian sebuah kolej oleh Menteri di Sabah tidak aku lepaskan begitu sahaja. Kunjungan ke sebuah daerah yang cukup asing, Semporna adalah satu peluang yang amat berharga dan dinantikan.

Sambil meninjau persiapan perasmian oleh rakan-rakan, pandanganku terpaku kepada pergerakan kumpulan manusia dari pelbagai arah ke sebuah rumah yang berhampiran dengan kolej tersebut. Keadaan ini membuatkan aku terpanggil untuk menghampiri mereka dan mengetahui keadaan yang sebenarnya. Sekumpulan kanak-kanak yang sedang berkumpul di hadapan pagar rumah tersebut menarik perhatianku dan terus bertanya “ada pergi sekolah?”. Mereka geleng kepala . Lalu aku bertanya lagi “kenapa tak sekolah”?.Sambil menggaru kepala dan tersengih dan kemudianya berkata dalam loghat yang amat sukar dan cukup asing …” tak ada surat beranak”. Aku bertanya lagi, “buat datang ramai-ramai ni”?.” Minta uang dari menteri “ sambut salah seorang dari mereka.

Ku hulurkan sebatang pen kepada salah seorang dari mereka sambil berkata.. ‘Nanti pergi buat surat beranak dan daftar sekolah. Belajar rajin-rajin, besar nanti boleh belajar di sana”, sambil aku menunjukkan kepada mereka sebuah kolej yang akan dirasmikan oleh Pak Menteri pada hari tersebut.

Kanak-kanak tersebut mengangguk-angguk sambil tersenyum malu. Pen yang aku hadiahkan itu dibelek-beleknya dengan penuh gembira. Rakan-rakan disebelahnya pula cuba mengusiknya sambil merebut pen tersebut.

Keadaan di halaman rumah tersebut sebenarnya telah dipenuhi oleh orang ramai. Aku kemudianya mendapat tahu bahawa ini adalah perkara biasa di rumah tersebut bila mereka mengetahui bahawa Menteri berkenaan pulang ke Semporna. Mereka ini sebenarnya ialah para penduduk dari perkampungan air di daerah Semporna dan juga penduduk dari daerah pendalaman. Mereka akan berkumpul di sekitar rumah itu dari awal pagi lagi dan berlanjutan sehinggalah mereka mendapat sumbangan dari Menteri berkenaan.Dikhabarkan bahawa mereka ada mendapat sumbangan sebanyak RM5/- bagi setiap orang. Melihat cara berpakaian dan kaki tanpa sepatu itu, dapat aku bayangkan kehidupan seharian mereka dan merasa betapa bertuahnya hidupku.

Namun dimataku adalah masa silam... akukah itu yang inginkan sepasang sepatu baru untuk dipakai pagi raya?. Oh! rupanya masih ada kemiskinan di sini....

Kenangan di KPTM Semporna, Sabah
Ogos 2010

Sunday, October 24, 2010

JAWA RANGER..... tersingkapnya satu identiti


”Wah! lama betul kita tak berjumpa, hampir 30 tahun” . Itulah kata-kataku yang pertama selepas kami berjabat salam dan bertanya khabar. Pertemuan hari itu adalah rentetan dari chatting di FB pada hari sebelumnya setelah bertukar-tukar nombor talipon. Pertemuan petang itu berlangsung di Bandar Baru Bangi. Pertemuan dalam dimensi yang amat berbeza kerana masing-masing telah melangkaui umur 40an dan telah menjadi ketua keluarga.



Pertemuan bersejarah dengan Jawa Ranger... selepas 30 tahun tidak bertemu


”Maaflah aku tak ada kad”, katanya setelah aku menghulurkan kad nama ku kepadanya.


”Ada jumpa kawan-kawan lain?” Aku bertanya kepadanya sambil menghirup nescafe tarik yang baru dihidangkan. ”Kawan-kawan dari Jengka 13 ada juga”, katanya sambil membetulkan kerusi beliau. Beliau menyebut beberapa nama seperti Yazid, Jelani, Yaacob, Sulaiman, Mazli dan yang perempuanya Rosyati Budairi. Aku cuba bertanya apa sebab kematian arwah Kamal. Beliau menjawab, ” Kamal tu silap bawa diri, silap berkawan lalu terjerumus ke lembah penagihan” . Sayang sekali sahabat kita yang cukup aktif dalam sukan terutamanya bolasepak itu, mengakhiri kehidupannya dengan penuh tragis sekali. Al fatihah buat beliau.

Pertemuan petang itu sememangnya menyeronokkan. ”Lepas sekolah kat Kuala Krau, aku masuk sekolah vokasional di Sanggang”, ceritanya bersemangat. Aku pula menyebut ”lepas SRP aku di SMKT sekejap dan selepas itu terus ke KL sampailah sekarang”.


Bapa kepada sepasang cahaya mata ini sebenarnya memang berasal dari Kajang dan beliau sebenarnya bukanlah dari kategori merantau mencari rezeki tetapi pulang ke kampung halaman. ”Orang tua aku dan dua orang adik beradik masih ada di Jengka”, sambung beliau yang ketika ini bekerja sebagai seorang ’pilot’ . Tapi ’pilot’ macam aku ni kena berhenti di ’trafic light’, tak boleh terus sahaja nanti bahaya”, katanya sambil tersenyum. Aku mengerti maksud ’pilot’ yang beliau maksudkan itu.


Sepanjang perbualan itu kami menyebut beberapa nama rakan-rakan dahulu sepertiYazid,Syed Osman,Syed Ismail,Adlan Tumin,Hasanuddin,Rashid Man,Wan Mazmah, Roslina Taib, Marhaini Hamzah, arwah Roslan Ahmad (Lan Gemuk), Nordin Malik, Ibrahim Majid, Azizah Rahman, Rominzi , Dr Mahyuddin, Normawati , Azlan Kamaludin, Badrul Hisham dan lain-lain. Ternyata ada keinginan beliau untuk bertemu kembali rakan-rakan lamanya itu. ”Selalulah buka FB tu, banyak cerita menarik dari rakan-rakan kita”, kataku kepada beliau yang mengakui agak kekok pada peringkat awal berjinak-jinak dengan jaringan sosial ini. ”Nanti kalau ada reunion, jangan tak datang pula”, pesanku.


Beliau sangat-sangat mengingati peristiwa Ibrahim Majid dan arwah Kamal Potek yang kena denda oleh Cikgu Haromshah kerana ditangkap menghisap rokok. Mereka ini didenda supaya menghabiskan beberapa kotak rokok di dewan makan asrama dan disaksikan oleh semua penghuni. Aku juga masih ingat lagi bagaimana arwah Kamal Potek dengan gayanya yang bersahaja menyedut dan menghembuskan asap rokok lalu membentuk beberapa corak di ruang dewan makan. Setelah beberapa kali Ibrahim tersedak dan hampir termuntah barulah Cikgu Haromshah menghentikan acara mendenda tersebut.


”Ibrahim tu pernah aku jumpa di Cheras dan mempunyai tiga orang anak. Dia bertugas di Pusat Latihan Orang Cacat Sungai Long”, sambungnya lagi setelah kami terdiam seketika kerana melayan kenangan masa lampau. Ibrahim Majid ini memang terkenal di sekolah kerana dia ini unik. Beliau kekurangan di satu anggota badan tetapi agak hebat menggunakan anggota yang lain.”Kalau bab permainan menggunakan kaki memang dia berbakat, macam bolasepak, sepak takraw dan lumba lari” sambung beliau lagi. Aku tidak pasti kenapa Ibrahim Majid menjadi pokok perbualan kami pada petang itu namun yang pastinya memang ada kenangan antara kami dengan insan istimewa itu.


Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah yang boleh diceritakan kembali terutamanya kisah di asrama yang selalu terputus bekalan air dan juga karenah rakan-rakan sebilik. Kisah mandi di sungai Terengging, perilaku penerima elaun bantuan asrama yang menghabiskan elaun tersebut di Temerloh dan Mentakab dengan membeli baju batik ’Hawaii’ dan kasut ”track”, menonton filem Permintaan Terakhir di Sekolah Rendah Kuala Krau, tayangan filem bulanan di dewan makan dengan bayaran RM 0.50 seorang, ’mencuri’ buah jambu batu di rumah tinggalan Marutapan (murid berbangsa India) di hujung padang sekolah dan solat terawih di masjid Kuala Krau. Aku amat pasti aktiviti dan peristiwa ini ada menyimpan seribu satu kisah di lipatan kenangan masing-masing.

Pertemuan hampir sejam itu dihentikan setelah aku mendapat panggilan dari isteri yang mengingatkan aku supaya mengambil ubat dari sebuah klinik berhampiran. Kami kemudianya berjabat salam dan berjanji akan bertemu lagi dilain kesempatan.


Kepada sahabatku Sukaimi Hasbollah, tirai Jawa Ranger telah aku singkap untuk tatapan semua.....


24 Oktober 2010

Kota Damansara


Thursday, June 24, 2010

Ikan Besar


Assalamualaikum,

Telah lama tak menulis atau membuat petikan dari blog-blog popular untuk tatapan pembaca. Bukan tidak berminat namun batasan masa dan tugasan yang begitu banyak membuatkan usaha-usaha itu terbantut.

Kali ini nak berkongsi gambar dan kenangan sewaktu pulang ke Pahang pada julai 2009 yang lalu. Bergambar dengan hasil tangkapan(jaring) Pak Alang. Seekor ikan temoleh(temelian) seberat tidak kurang 15 kilogram.

Oh ya! kawasan ini adalah tapak jamabatan yang menghubungkan Pekan Kuala Krau dengan Bandar Pusat Jengka. Tak secara langsung kampung-kampung tradisional yang berdekatan seperti Durian Hijau, Sekoh, Rumpun Makmur dan Gunung Senyum akan mendapat tempias pembangunan ini.

Saya mendapat khabar jambatan ini telahpun siap dan dirasmikan oleh Kebawah Duli Sultan Pahang pada April yang lepas, namun sehingga kini saya masih belum dapat peluang melaluinya.
InsyaAllah dalam masa terdekat saya akan balik kampung dan akan melaluinya.

Dah lamapun tak balik dan merasa masakan tempoyak patin atau tilapia merah atau gulai rom ikan paya. Sedap tu.....

Sekian dan berjumpa lagi.










Monday, February 22, 2010

Harapan....

Assalamualaikum

Petikan ini diambil dari blog Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Bin Toyo untuk tatapan pembaca semua.Kredit untuk beliau.

PETROL

1. Saya berharap kerajaan tidak melaksanakan sistem yang kompleks dan rumit dalam pemberian subsidi petrol. Petrol merupakan barang keperluan semua rakyat. Sebarang kenaikan petrol akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang akhirnya hanya akan menyusahkan lagi rakyat.

2. Cadangan saya kerajaan mengekalkan janji untuk memberi subsidi 30 sen seliter untuk RON 95. Bagi RON 97 adalah wajar juga kerajaan menunaikan janji menjual pada harga pasaran.

3. Ini lebih praktikal berbanding memberi subsidi mengikut pendapatan, jenis kereta dan juga penggunaan mykad. Saya khuatir nanti yang untung bukan kerajaan tetapi pembekal sistem baru sahaja.

4. Ramai yang mampu bersedia menggunakan RON 97, namun tidak semua stesen minyak, terutama di luar Lembah Klang yang menjualnya. Malahan stesen minyak di Lembah Klang juga ramai yang tidak menyediakan pam untuk RON 97. Mengapa ini terjadi sekarang kerajaan mahu menggalakkan rakyat kurang bergantung kepada subsidi.

5. Kerajaan mungkin boleh membuat beberapa kempen dan peraduan bagi menarik orang ramai yang mampu menggunakan RON 97. Selain itu, ramai juga pemilik kereta CC tinggi lebih suka menggunakan RON 97. Ini merupakan jalan terbaik kerajaan mengurangkan subsidi petrol. Rakyat ada pilihan dan tidak dipaksa.

GST

6. Semua orang di Malaysia kecuali segelintir pegawai kanan kerajaan mengetahui bahawa pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan memberi implikasi yang serius kepada harga barangan.

7. Memang benar GST sebanyak 4% lebih murah daripada SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) sebanyak 15% sekarang ini. Apa yang tidak diterangkan tetapi diketahui umum ialah GST merupakan sistem percukaian yang sangat efisyen kerana ia dikenakan di setiap peringkat pengeluaran.

8. Jika salah mungkin pegawai kerajaan boleh tolong betulkan. Namun bagi kami yang di luar melihat GST sebanyak 4% akan menyebabkan kos barangan mungkin menjadi antara 12-16 % bergantung kepada berapa peringkat pengeluaran.

9. Eloklah kerajaan terangkan dengan jelas GST ini bukan sekadar bermain kata-kata manis semata.

10. Mungkin kerajaan perlu memulakan GST ini pada peringkat 1 atau 2% bagi melihat kesannya terlebih dahulu.