Thursday, October 28, 2010

DI MATAKU ADALAH MASA SILAM...

Kesempatan untuk bersama-sama di majlis perasmian sebuah kolej oleh Menteri di Sabah tidak aku lepaskan begitu sahaja. Kunjungan ke sebuah daerah yang cukup asing, Semporna adalah satu peluang yang amat berharga dan dinantikan.

Sambil meninjau persiapan perasmian oleh rakan-rakan, pandanganku terpaku kepada pergerakan kumpulan manusia dari pelbagai arah ke sebuah rumah yang berhampiran dengan kolej tersebut. Keadaan ini membuatkan aku terpanggil untuk menghampiri mereka dan mengetahui keadaan yang sebenarnya. Sekumpulan kanak-kanak yang sedang berkumpul di hadapan pagar rumah tersebut menarik perhatianku dan terus bertanya “ada pergi sekolah?”. Mereka geleng kepala . Lalu aku bertanya lagi “kenapa tak sekolah”?.Sambil menggaru kepala dan tersengih dan kemudianya berkata dalam loghat yang amat sukar dan cukup asing …” tak ada surat beranak”. Aku bertanya lagi, “buat datang ramai-ramai ni”?.” Minta uang dari menteri “ sambut salah seorang dari mereka.

Ku hulurkan sebatang pen kepada salah seorang dari mereka sambil berkata.. ‘Nanti pergi buat surat beranak dan daftar sekolah. Belajar rajin-rajin, besar nanti boleh belajar di sana”, sambil aku menunjukkan kepada mereka sebuah kolej yang akan dirasmikan oleh Pak Menteri pada hari tersebut.

Kanak-kanak tersebut mengangguk-angguk sambil tersenyum malu. Pen yang aku hadiahkan itu dibelek-beleknya dengan penuh gembira. Rakan-rakan disebelahnya pula cuba mengusiknya sambil merebut pen tersebut.

Keadaan di halaman rumah tersebut sebenarnya telah dipenuhi oleh orang ramai. Aku kemudianya mendapat tahu bahawa ini adalah perkara biasa di rumah tersebut bila mereka mengetahui bahawa Menteri berkenaan pulang ke Semporna. Mereka ini sebenarnya ialah para penduduk dari perkampungan air di daerah Semporna dan juga penduduk dari daerah pendalaman. Mereka akan berkumpul di sekitar rumah itu dari awal pagi lagi dan berlanjutan sehinggalah mereka mendapat sumbangan dari Menteri berkenaan.Dikhabarkan bahawa mereka ada mendapat sumbangan sebanyak RM5/- bagi setiap orang. Melihat cara berpakaian dan kaki tanpa sepatu itu, dapat aku bayangkan kehidupan seharian mereka dan merasa betapa bertuahnya hidupku.

Namun dimataku adalah masa silam... akukah itu yang inginkan sepasang sepatu baru untuk dipakai pagi raya?. Oh! rupanya masih ada kemiskinan di sini....

Kenangan di KPTM Semporna, Sabah
Ogos 2010

Sunday, October 24, 2010

JAWA RANGER..... tersingkapnya satu identiti


”Wah! lama betul kita tak berjumpa, hampir 30 tahun” . Itulah kata-kataku yang pertama selepas kami berjabat salam dan bertanya khabar. Pertemuan hari itu adalah rentetan dari chatting di FB pada hari sebelumnya setelah bertukar-tukar nombor talipon. Pertemuan petang itu berlangsung di Bandar Baru Bangi. Pertemuan dalam dimensi yang amat berbeza kerana masing-masing telah melangkaui umur 40an dan telah menjadi ketua keluarga.



Pertemuan bersejarah dengan Jawa Ranger... selepas 30 tahun tidak bertemu


”Maaflah aku tak ada kad”, katanya setelah aku menghulurkan kad nama ku kepadanya.


”Ada jumpa kawan-kawan lain?” Aku bertanya kepadanya sambil menghirup nescafe tarik yang baru dihidangkan. ”Kawan-kawan dari Jengka 13 ada juga”, katanya sambil membetulkan kerusi beliau. Beliau menyebut beberapa nama seperti Yazid, Jelani, Yaacob, Sulaiman, Mazli dan yang perempuanya Rosyati Budairi. Aku cuba bertanya apa sebab kematian arwah Kamal. Beliau menjawab, ” Kamal tu silap bawa diri, silap berkawan lalu terjerumus ke lembah penagihan” . Sayang sekali sahabat kita yang cukup aktif dalam sukan terutamanya bolasepak itu, mengakhiri kehidupannya dengan penuh tragis sekali. Al fatihah buat beliau.

Pertemuan petang itu sememangnya menyeronokkan. ”Lepas sekolah kat Kuala Krau, aku masuk sekolah vokasional di Sanggang”, ceritanya bersemangat. Aku pula menyebut ”lepas SRP aku di SMKT sekejap dan selepas itu terus ke KL sampailah sekarang”.


Bapa kepada sepasang cahaya mata ini sebenarnya memang berasal dari Kajang dan beliau sebenarnya bukanlah dari kategori merantau mencari rezeki tetapi pulang ke kampung halaman. ”Orang tua aku dan dua orang adik beradik masih ada di Jengka”, sambung beliau yang ketika ini bekerja sebagai seorang ’pilot’ . Tapi ’pilot’ macam aku ni kena berhenti di ’trafic light’, tak boleh terus sahaja nanti bahaya”, katanya sambil tersenyum. Aku mengerti maksud ’pilot’ yang beliau maksudkan itu.


Sepanjang perbualan itu kami menyebut beberapa nama rakan-rakan dahulu sepertiYazid,Syed Osman,Syed Ismail,Adlan Tumin,Hasanuddin,Rashid Man,Wan Mazmah, Roslina Taib, Marhaini Hamzah, arwah Roslan Ahmad (Lan Gemuk), Nordin Malik, Ibrahim Majid, Azizah Rahman, Rominzi , Dr Mahyuddin, Normawati , Azlan Kamaludin, Badrul Hisham dan lain-lain. Ternyata ada keinginan beliau untuk bertemu kembali rakan-rakan lamanya itu. ”Selalulah buka FB tu, banyak cerita menarik dari rakan-rakan kita”, kataku kepada beliau yang mengakui agak kekok pada peringkat awal berjinak-jinak dengan jaringan sosial ini. ”Nanti kalau ada reunion, jangan tak datang pula”, pesanku.


Beliau sangat-sangat mengingati peristiwa Ibrahim Majid dan arwah Kamal Potek yang kena denda oleh Cikgu Haromshah kerana ditangkap menghisap rokok. Mereka ini didenda supaya menghabiskan beberapa kotak rokok di dewan makan asrama dan disaksikan oleh semua penghuni. Aku juga masih ingat lagi bagaimana arwah Kamal Potek dengan gayanya yang bersahaja menyedut dan menghembuskan asap rokok lalu membentuk beberapa corak di ruang dewan makan. Setelah beberapa kali Ibrahim tersedak dan hampir termuntah barulah Cikgu Haromshah menghentikan acara mendenda tersebut.


”Ibrahim tu pernah aku jumpa di Cheras dan mempunyai tiga orang anak. Dia bertugas di Pusat Latihan Orang Cacat Sungai Long”, sambungnya lagi setelah kami terdiam seketika kerana melayan kenangan masa lampau. Ibrahim Majid ini memang terkenal di sekolah kerana dia ini unik. Beliau kekurangan di satu anggota badan tetapi agak hebat menggunakan anggota yang lain.”Kalau bab permainan menggunakan kaki memang dia berbakat, macam bolasepak, sepak takraw dan lumba lari” sambung beliau lagi. Aku tidak pasti kenapa Ibrahim Majid menjadi pokok perbualan kami pada petang itu namun yang pastinya memang ada kenangan antara kami dengan insan istimewa itu.


Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah yang boleh diceritakan kembali terutamanya kisah di asrama yang selalu terputus bekalan air dan juga karenah rakan-rakan sebilik. Kisah mandi di sungai Terengging, perilaku penerima elaun bantuan asrama yang menghabiskan elaun tersebut di Temerloh dan Mentakab dengan membeli baju batik ’Hawaii’ dan kasut ”track”, menonton filem Permintaan Terakhir di Sekolah Rendah Kuala Krau, tayangan filem bulanan di dewan makan dengan bayaran RM 0.50 seorang, ’mencuri’ buah jambu batu di rumah tinggalan Marutapan (murid berbangsa India) di hujung padang sekolah dan solat terawih di masjid Kuala Krau. Aku amat pasti aktiviti dan peristiwa ini ada menyimpan seribu satu kisah di lipatan kenangan masing-masing.

Pertemuan hampir sejam itu dihentikan setelah aku mendapat panggilan dari isteri yang mengingatkan aku supaya mengambil ubat dari sebuah klinik berhampiran. Kami kemudianya berjabat salam dan berjanji akan bertemu lagi dilain kesempatan.


Kepada sahabatku Sukaimi Hasbollah, tirai Jawa Ranger telah aku singkap untuk tatapan semua.....


24 Oktober 2010

Kota Damansara


Thursday, June 24, 2010

Ikan Besar


Assalamualaikum,

Telah lama tak menulis atau membuat petikan dari blog-blog popular untuk tatapan pembaca. Bukan tidak berminat namun batasan masa dan tugasan yang begitu banyak membuatkan usaha-usaha itu terbantut.

Kali ini nak berkongsi gambar dan kenangan sewaktu pulang ke Pahang pada julai 2009 yang lalu. Bergambar dengan hasil tangkapan(jaring) Pak Alang. Seekor ikan temoleh(temelian) seberat tidak kurang 15 kilogram.

Oh ya! kawasan ini adalah tapak jamabatan yang menghubungkan Pekan Kuala Krau dengan Bandar Pusat Jengka. Tak secara langsung kampung-kampung tradisional yang berdekatan seperti Durian Hijau, Sekoh, Rumpun Makmur dan Gunung Senyum akan mendapat tempias pembangunan ini.

Saya mendapat khabar jambatan ini telahpun siap dan dirasmikan oleh Kebawah Duli Sultan Pahang pada April yang lepas, namun sehingga kini saya masih belum dapat peluang melaluinya.
InsyaAllah dalam masa terdekat saya akan balik kampung dan akan melaluinya.

Dah lamapun tak balik dan merasa masakan tempoyak patin atau tilapia merah atau gulai rom ikan paya. Sedap tu.....

Sekian dan berjumpa lagi.










Monday, February 22, 2010

Harapan....

Assalamualaikum

Petikan ini diambil dari blog Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Bin Toyo untuk tatapan pembaca semua.Kredit untuk beliau.

PETROL

1. Saya berharap kerajaan tidak melaksanakan sistem yang kompleks dan rumit dalam pemberian subsidi petrol. Petrol merupakan barang keperluan semua rakyat. Sebarang kenaikan petrol akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang akhirnya hanya akan menyusahkan lagi rakyat.

2. Cadangan saya kerajaan mengekalkan janji untuk memberi subsidi 30 sen seliter untuk RON 95. Bagi RON 97 adalah wajar juga kerajaan menunaikan janji menjual pada harga pasaran.

3. Ini lebih praktikal berbanding memberi subsidi mengikut pendapatan, jenis kereta dan juga penggunaan mykad. Saya khuatir nanti yang untung bukan kerajaan tetapi pembekal sistem baru sahaja.

4. Ramai yang mampu bersedia menggunakan RON 97, namun tidak semua stesen minyak, terutama di luar Lembah Klang yang menjualnya. Malahan stesen minyak di Lembah Klang juga ramai yang tidak menyediakan pam untuk RON 97. Mengapa ini terjadi sekarang kerajaan mahu menggalakkan rakyat kurang bergantung kepada subsidi.

5. Kerajaan mungkin boleh membuat beberapa kempen dan peraduan bagi menarik orang ramai yang mampu menggunakan RON 97. Selain itu, ramai juga pemilik kereta CC tinggi lebih suka menggunakan RON 97. Ini merupakan jalan terbaik kerajaan mengurangkan subsidi petrol. Rakyat ada pilihan dan tidak dipaksa.

GST

6. Semua orang di Malaysia kecuali segelintir pegawai kanan kerajaan mengetahui bahawa pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan memberi implikasi yang serius kepada harga barangan.

7. Memang benar GST sebanyak 4% lebih murah daripada SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) sebanyak 15% sekarang ini. Apa yang tidak diterangkan tetapi diketahui umum ialah GST merupakan sistem percukaian yang sangat efisyen kerana ia dikenakan di setiap peringkat pengeluaran.

8. Jika salah mungkin pegawai kerajaan boleh tolong betulkan. Namun bagi kami yang di luar melihat GST sebanyak 4% akan menyebabkan kos barangan mungkin menjadi antara 12-16 % bergantung kepada berapa peringkat pengeluaran.

9. Eloklah kerajaan terangkan dengan jelas GST ini bukan sekadar bermain kata-kata manis semata.

10. Mungkin kerajaan perlu memulakan GST ini pada peringkat 1 atau 2% bagi melihat kesannya terlebih dahulu.

Sunday, December 27, 2009

Assalamu'alaikum dan berjumpa

Selamat menyambut tahun baru hijrah 1431 dan masehi 2009 dan semoga kehadiran tahun baru ini dapat memberi keberkatan kepada semua. Aminn.......

Saya mendapati tulisan dari sdr Hishammudin Rais yang saya tempelkan dibawah sangat menarik dan wajar dibaca. Selamat membaca dan semoga ada manfaatnya. Aminn...

SISTEM DUA PARTI ILUSI KAUM PEMODAL
(petikan dari Malysiakini- Hishammudin Rais)


Pada tahun ini, wacana politik dalam negara kita cuba menyebarkan berita tentang kemungkinan terwujudnya sistem dua parti – BN dan Pakatan Rakyat. Malah huha huha tentang sistem dua parti ini telah tersebar lama. Ada yang tersenyum gembira seperti malam pertama berdua-duaan di bilik bersama kekasih sewaktu mendengar kemungkinan ini.

Sistem dua parti ini satu penipuan - satu ilusi yang dirancang oleh kaum pemodal; satu pemesongan projek demokrasi yang amat terancang untuk mengaburi mata orang ramai agar gagal melihat intipati politik dan makna hakiki demokrasi. Lalu saya bertanya, siapa yang dapat membezakan Pepsi dengan Coke? Siapa yang dapat membezakan Adidas dengan Puma? Hakikatnya, pemilik saham Pepsi juga pemilik saham Coke.

Hakikatnya, Puma dan Adidas dua beradik yang membuka peniagaan yang sama – satu kedai di kiri jalan dan sebuah lagi di kanan jalan. Kedua-duanya mengamalkan sistem kapitalis yang berlandaskan keuntungan. Perbezaannya, hanya ejaan yang bermula dengan A dan P. Kita wajib sedar bahawa kaum pemodal akan terus merancang untuk memastikan kepentingan ekonomi mereka selamat. Apa yang mereka pertahankan bukan seekar kebun getah atau sebuah Kancil.

Yang mereka pertahankan, sistem ekonomi kapitalis yang selama 150 tahun ini telah mengembungkan saku dan dompet mereka. Sistem ini telah menjadikan mereka senang- lenang dan kaya-raya dengan harta berbilion-bilion dolar dan ringgit. Kuasa yang mengancam dan menyusahkan kehidupan umat manusia di dunia hari ini sebenarnya kuasa kaum pemodal. Kaum pemodal inilah yang merancang untuk memastikan parti apa yang naik dan parti apa yang turun.

Siapa dapat jadi menteri dan siapa yang akan dipencenkan. Para politikus dalam sistem kapitalis ini hanyalah Mat Heboh yang diupah berlabun di Parlimen untuk menggubal undang-undang dan memastikan kepentingan kaum pemodal dijaga rapi. Perhatikan bagaimana undang-undang yang diluluskan di Parlimen TIDAK akan dan TIDAK pernah menyebelahi kepentingan kaum buruh atau kaum pekerja. Perhatikan, cukai yang dikenakan. Pemotongan cukai untuk kaum pemodal akan diutamakan.

Dalam masa yang sama, mereka yang miskin akan berselirat dengan cukai. Kalau tidak percaya, sila tunggu cukai baru: cukai barang dan khidmat. Akan terlondeh seluar dalam Mak Minah dan akan tergadai kapcai Pak Ali apabila cukai ini sampai. Jika masih belum yakin biar saya nyatakan satu lagi contoh terbaik. Lihat apa yang terjadi kepada dasar kerajaan Pakatan di Selangor yang melarang bangunan didirikan di lereng bukit. Dasar ini cita-cita Pakatan Rakyat ketika berkempen untuk membawa kebaikan dan keselamatan kepada warga. Lihat pula apa yang berlaku di belakang tabir. Kaum pemodal – pemaju dan para kontraktor telah – melobi dan akhirnya larangan ini ditarik kembali. Kenduri menarah bukit diteruskan semula.

Lihat pula apa yang terjadi apabila berlaku runtuhan di Bukit Antarabangsa. Laporan yang ingin diumumkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal kerana laporan ini diikat oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA). Akta seperti ini semuanya diwujudkan untuk memastikan kaum pemodal – syarikat pemaju , kontraktor dan syarikat bekalan air – terselamat dan keuntungan mereka terjamin. Yang mati terkambus telah selamat ditalkinkan, jangan buat bising lagi, biarkan badan mereka dimakan cacing!. Kenyataan ini bukanlah tohmahan, propaganda atau berita putar yang saya ajukan kerana saya muflis dan tidak memiliki harta kekayaan. Ia adalah hakikat di hadapan mata kita. Buka mata dan dengar. Buka telinga dan lihat.

Klik komputer dan baca. Jangan menjadi Mat Malas. Ketuk kepala lutut dan goncangkan kepala untuk berfikir. Nilai dan fahami mana tohmahan, mana pula yang putar alam dan apa itu kebenaran. Kaum pemodal dan para kapitalis bergerak dengan licik. Ketika ini kaum pemodal di Malaysia melihat dan membaca tanda-tanda politik yang sedang berlaku di dalam negara ini. Mereka menyedari bahawa gaya dan politik lama yang selama ini membawa keuntungan yang amat lumayan tidak mungkin akan berterusan.

Apa yang terjadi pada 8 Mac 2008 mengajar mereka untuk memahami bahawa warga dalam negara ini mahukan perubahan dan sedang menuntut hak demokrasi mereka. Dengan arif dan dengan wang ringgit, kaum pemodal merancang untuk melahirkan apa yang dipanggil “sistem dua parti”. Contoh sistem dua parti ini sedang kita lihat berjalan dengan lancar di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Di UK. ada Parti Konservatif dan Parti Buruh, di Amerika ada Parti Republikan dan Parti Demokrat. Parti-parti ini bertukar ganti untuk menjalankan pentabiran. Thatcher dari Parti Konservatif akhirnya diganti oleh Tony Blair dari Parti Buruh. George Bush Sr dari Republikan diganti oleh Bill Clinton dari Demokrat. Kemudian Clinton diganti oleh George Bush Jr yang kemudiannya digantikan pula oleh Barack Obama dari Parti Demokrat.

Parti politik dan susuk yang memimpin pentabiran kelihatan bertukar berganti. Tetapi hakikatnya sistem ekonomi kapitalis tidak berubah. Beginilah silap mata Pepsi Cola dan Coca Cola yang selama ini telah berjaya menipu. Kapitalisme tidak berganjak. Kaum pemodal tidak hilang keuntungan walau parti mana pun yang naik atau turun. Justeru, perubahan antara Demokrat kepada Republikan atau Konservatif kepada Buruh hanyalah satu ilusi untuk menipu orang ramai. Tidak ada apa-apa perubahan hakiki yang telah berlaku.

Tuan punya bank masih kaya-raya. Tuan punya kilang masih memerah tenaga buruh murah. Para kontraktor masih membalon orang ramai. Cukai masih di tahap yang sama. Kaum pemodal terus melipatkangandakan keuntungan. Orang ramai dan para pengundi digula-gulakan dengan perubahan daripada parti ini kepada parti itu; daripada presiden yang ini kepada presiden yang itu. Beginilah helah kaum pemodal agar orang ramai tidak akan menuntut perubahan sistem yang sedia ada.

Dalam kempen-kempen pilihan raya, kita akan mendengar labon dari Mat Heboh yang ingin menjadi YB. Teliti dengan rapi: mereka semuanya berjanji untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih baik daripada yang sedia ada. Apa sebenarnya janji-janji para Mat Heboh bakal YB ini? Mereka berjanji akan menjalankan pentabiran dengan lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih. Ertinya mereka berjanji akan menjadi Mat Heboh yang lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih kepada kaum pemodal. Merekalah Mat Heboh yang terbaik untuk mengendalikan sistem ekonomi kapitalis ini.

Tidak pernah kita mendengar bahawa yang haprak dan yang membawa kemudaratan terhadap umat manusia hari ini ialah sistem ekonomi kapitalis yang mengajukan rukun imannya: keuntungan maksimum. Rukun iman inilah yang sedang membawa porak-peranda kepada kita semua hari ini. Keuntungan maksimum yang dijadikan rukun iman ini akan membolehkan apa sahaja dilakukan asalkan ia membawa untung.

Balak dikeluarkan kerana ia membawa untung. Pelacur datang dari China kerana ia membawa untung. Hospital diswastakan kerana ia membawa untung. Dadah diniagakan kerana ia membawa untung. Jika kita menyedari hakikat ini, maka kita tahu bahawa sistem dua parti ini hanyalah kong kalikong. Tidak ada apa-apa perubahan hakiki yang akan berlaku jika yang diajukan untuk dipilih hanyalah “siapa yang lebih cekap” mentabir sistem kapitalis.

Adakah BN lebih baik untuk keuntungan kapitalis atau Pakatan Rakyat yang akan mentabir dengan baik sistem kapitalis ini? Jika inilah persoalannya, maka saya jamin kita semua kena tipu oleh kaum pemodal dengan sistem dua parti yang sedang mereka rancangkan. Apa yang seharusnya kita tuntut bukan sistem dua parti; bukan siapa yang lebih cekap dan lebih amanah mentabir sistem kapitalis. Yang wajib menjadi rukun iman kita, menghancurkan sistem ekonomi yang berasaskan keuntungan maksimum.

Yang menjadi rukun iman, kita berjuang untuk melahirkan sistem ekonomi yang berasaskan kebajikan untuk umat manusia. Sistem dua parti atau dua ratus buah parti ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki jika kita masih lagi dalam sistem ekonomi yang berimankan keuntungan maksimum. Apa yang wajib kita sokong bukan mereka yang berijazah, berdatuk, bertun atau berserban - ini semua tidak penting.

Yang penting, mereka yang bangun berjuang untuk melahirkan satu sistem ekonomi yang berimankan kebajikan untuk manusia. Kita jangan ditipu untuk diberi pilihan sama ada untuk membeli kasut Adidas atau kasut Puma. Kita mahukan kasut kulit yang baru. Kita jangan ditipu untuk memilih Coca Cola atau Pepsi Cola. Kita tidak mahu minuman itu; kita kita mahu air buah avocado yang sihat untuk umat manusia.

Lalu apa pilihan kita dan apa tindakan kita.......

Semoga bertemu lagi dilain posting.

Monday, September 7, 2009

Fenomena 1Malaysia dan Budaya Picit Handphone

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia

Berjumpa lagi,

1. Dan terlalu lama blog ini tidak di'update'kan. Kesuntukan masa akibat beban tugasan yang banyak menyekat saya dari membuat sebarang 'posting'.

2. Bercakap tentang Gagasan 1Malaysia yang semakin hebat dipromosikan sekarang sehingga menjadi satu fenomena. Selepas ini akan wujud Restoran 1Malaysia, Tudung 1Malaysia, Baju 1Malaysia, Nasi Lemak 1Malaysia dan berbagai-bagai lagi yang akan mengambil nama sempena gagasan tersebut bagi tujuan komersial. 'Tag line' Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan bagi saya BUKAN untuk rakyat untuk memahami dan melaksanakannya tetapi adalah bagi semua pemimpin negara dan wakil-wakil rakyat yang dipilih. Rakyat atau orang awam tidak perlu bersusah payah menghayati gagasan ini. Para pemimpin yang sepatutnya sentiasa 'alert' dan 'well verse' tentang apa yang dimaksudkan. Kepada para pemimpin dan wakil rakyat, hayatilah dan laksanakanlah inti pati gagasan ini. Semoga berjaya.

3. Handphone juga nampaknya menjadi satu fenomena yang cukup hebat. Hampir kesemua orang yang waras mempunyai handphone. Tak kiralah mahal atau murah pokoknya mempunyai hanphone merupakan satu kemestian sekarang ini. Saya perturunkan di bawah ini keadaan-keadaaan dimana hanphone digunakan/dipicit butangnya walaupun keadaan tersebut tidak perlu.....

a. Dalam lift - semua orang memicit hanphone walaupun tiada mesej masuk atau hantar mesej. Ini adalah kerana tidak mahu berpandangan sesama sendiri di dalam lif tersebut. Dah jadi tabiat masuk lif kena picit hanphone.

b. Sambil tunggu bas dan teksi - kalau kebetulan keseorangan handphone tidak dipicit, tapi bila ada orang datang atau lalu disitu, terus picit. Tak percaya sila 'observe'. Mesti kita tersenyum.

c. Sambil berjalan dikaki lima atau mana-mana tempat awam secara berseorangan, tidak pula picit handphone, tapi bila ada orang lalu atau berselisih atau ada orang pandang kita, handphone terus dipicit. Tak percaya??? Sila perhatikan.... mesti gelak sorang-sorang.

d. Sambil tunggu pesanan makan, bila ada orang pandang.... terus capai handphone dan picit-picit. Betulkan???

e.Dalam bas, LRT dan Komuter, jika ada yang pandang terus picit handphone walaupun tiada mesej masuk. Tapi dalam teksi tidak pula berlaku sebab biasanya naik-sorang-sorang jadi tiada yang pandang

f. Di tangga-tangga bangunan pun begitu, tak percaya sila naik tangga bangunan ketika ada orang nak turun dan berselisih dengannya. Mesti macam tu punya.....

Banyak lagi keadaan-keadaan yang kadangnya mengelikan hati kita. Handphone dipicit tanpa tujuan tertentu.....

Dikesempatan posting ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut aidil fitri kepada semua pembaca ......

Wassalam dan berjumpa lagi dilain posting

Sunday, June 28, 2009

Alahai RTM.......

Berjumpa lagi

Saya berkesempatan menonton perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia pada petang ahad 2.30pm melalui saluran TV1. Perlawanan tumpuan adalah diantara jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei yang berdepan dengan juara remaja dari negara China, Cheng Long. Perlawanan ini memang ditunggu-tunggu kerana Datuk Lee Chong Wei dikatakan berkira-kira untuk menebus kekalahan di dalam satu perlawanan di India baru-baru ini.

Ditengah-tengah keghairahan menonton perlawanan yang menarik itu, pihak RM telah 'potong stim' dengan menghentikan siaran langsung tersebut dan memberi laluan kepada siaran Berita Wilayah. Saya bertukar kepada saluran TV berbayar dan terus menonton sehingga perlawanan tamat. Kepada yang tiada saluran tv berbayar tentulah mereka rasa cukup kecewa dengan tindakan ini. Apapun kesudahanya Datuk Lee Chong Wei menang bergaya.

Apa yang saya ingin ketengahkan disini adalah sensitiviti RTM terhadap penonton dan cara menyelesaikan situasi ini. Saya berpendapat menghentikan siaran langsung tersebut menunjukkan yang RTM tidak begitu kreatif dan sensitif terhadap penayangan siaran. Saya melihat tiada rugi dan salahnya untuk menangguhkan siaran Berita Wilayah tersebut dan menyiarkannya sebaik sahaja perlawanan tamat.

Tindakan RTM ini boleh menjauhkan RTM dengan orang ramai yang pada ketika ini pun RTM bertungkus lumus cuba menaikkan rating penonton dan pendengar. Bagaimana kerajaan dapat menyampaikan aspirasi jika kadar penonton adalah amat rendah?. Bukan sekali keadaan ini berlaku malahan seingat saya telah berlaku banyak kali RTM 'potong stim' penontonnya.

Menteri dan KP Penerangan yang baru.... tengok-tengoklah apa patut. Jangan sampai RTM tiada lagi dihati rakyat....

Berubah dan kreatiflah..................

Berjumpa lagi dilain posting